yA

Temuduga merupakan satu peluang yang sepatutnya dirancang dan diambil berat oleh setiap pelajar. Tujuan utama temuduga adalah untuk menentukan dan memilih calon yang paling sesuai. Temuduga ialah komunikasi dua hala. Ia bukan hanya satu tugas bagi pada penemuduga untuk menetukan kesesuaian calon, tetapi juga para calon harus berusaha agar mereka didapati sesuai dan seterusnya dipilih.

Temuduga boleh dikendalikan oleh seorang penemuduga ataupun oleh beberapa orang, yang dipanggil ‘panel’ temuduga. Biasanya terdapat 3 atau 5 orang dalam sesuatu panel temuduga., bergantung pada kehendak pihak yang menganjurkannya. Bagaimana ia dikendalikan, itu tidak penting. Apa yang harus diberi peringatan ialah cara anda berkelakuan, kerana itu yang akan menentukan peluang untuk anda berjaya di dalam temuduga tersebut. Anda perlu meyakinkan si penemuduga bahawa anda layak dipilih dan mempunyai segala ciri-ciri yang dikehendaki.

PERSEDIAAN UNTUK TEMUDUGA:

Calon-calon mestilah bersedia dari segi mental dan fizikal sebelum menghadiri temuduga. Berikut adalah beberapa perkara yang elok dijadikan panduan:

1. Selidik dan dapatkan seberapa banyak mungkin maklumat-maklumat berhubung dengan kerjaya yang menjadi pilihan. Antara sumber-sumber yang boleh membantu anda dalam hal ini ialah:

  • Kaunselor
  • Guru-guru kaunseling.
  • Guru-guru yang mempunyai pengetahuan berkaitan dengan kerjaya tertentu.
  • Buku-buku ‘Occupational Outlook Handbook’ dan ‘Dictionary of Occupational Tittles’ yang boleh diperolehi di bilik Kaunselor.
  • Prospektus dari pelbagai universiti tempatan dan luar negeri yang terdapat di Perpustakaan Maktab.
  • Pegawai-pegawai di Bahagian Bimbingan Kerjaya dan Perkhidmatan Pekerjaan, Kementerian Buruh dan Tenaga Rakyat.
  • Pegawai-pegawai yang bekerja di dalam bidang kerjaya yang dipohon.
  • Risalah-risalah dan bahan-bahan penerangan kerjaya yang boleh dipohon dari Bahagian Penganjuran Pelajaran MARA, Jabatan Buruh dan sebagainya.
  • Ibu bapa, saudara-mara dan rakan-rakan.

2. Pastikan anda mempunyai kelulusan akademik serta kelulusan-kelulusan lain yang diperlukan sebagai syarat bagi mengikuti kursus/bidang yang dipohon. Janganlah semata-mata bergantung pada nasib dan ‘angan-angan’ sahaja.

3. Berhati-hati ketika mengisi borang permohonan (penempatan) yang pihak Maktab edarkan. Segala butir yang hendak diisikan perlulah difikir terlebih dahulu sama ada betul atau tidak, supaya borang anda nanti akan kelihatan bersih. Kesalahan mengisi borang permohonan/penempatan seperti tidak mengisi maklumat yang dikehendaki dengan lengkap, tulisan yang sukar dibaca, borang yang kotor dan lain-lain, memberi gambaran sikap, watak dan perlakuan anda. Perlu diingatkan bahawa proses temuduga bermula dari masa anda mengisi borang permohonan lagi.

4. Ambil tahu serba sedikit mengenai hal-hal di sekelililng anda (baca surat khabar, majalah dan sebagainya mengenai berita-berita penting dan pengetahuan am).

PADA HARI TEMUDUGA:

  • Pakailah pakaian yang sesuai, kemas lagi bersih. Pelajar-pelajar lelaki perlu memakai tali leher. Jangan pakai pakaian yang terlampau berwarna-warni dan menjolok mata, berselipar, serta menggunakan minyak wangi dan alat-alat solek yang berlebihan. Elakkan memakai baju batik dan T-shirt. Cuba bayangkan jika anda yang menemuduga, anda pasti akan memilih calon yang berpakaian kemas.
  • Pakailah kasut kulit. Elakkan kasut kain, kasut sukan atau selipar.
  • Rambut anda hendaklah pendek bagi lelaki dan kemas disikat atau bertudung bagi perempuan.
  • Pastikan anda ada membawa bersama-sama anda surat panggilan temuduga, kas pengenalan, surat beranak, sijil-sijil asal, dokumen-dokumen asal serta surat-surat akuan asal (jika ada) untuk disemak oleh panel temuduga. Atur mengikut susunan yang dikehendaki dan sebaik-baiknya difailkan supaya nampak lebih kemas dan teratur. (Jangan digulung-gulung sijil anda).
  • Tentukan di mana, bila dan pukul berapa temuduga itu diadakan. Cuba untuk sampai antara 10 - 15 minit lebih awal supaya anda punya cukup masa untuk berehat dan bertenang, tetapi jangan terlalu lama sehingga anda berasa cemas pula. Jangan sekali-kali datang lambat.
  • Apabila dipanggil masuk ke dalam bilik temuduga, anda hendaklah mengetuk pintu terlebih dahulu sebelum masuk. Jangan berasa gentar, masuk dengan hati yang tenang serta yakin.

0 Responses

Post a Comment